Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 7 Disember. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Program Kemasyarakatan Jabatan Penjara serta Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kolaborasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) 2025.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah di BIBD Connect, Taman Mahkota Jubli Emas, di sini, dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Pada acara tersebut, Yang Teramat Mulia berkenan menyertai acara 'Briskwalk' sejauh 3 kilometer (km) bagi wanita yang bermula dan berakhir di BIBD Connect.
Terdahulu itu, acara dimulakan dengan senaman pemanasan badan.
Turut diadakan semasa acara tersebut ialah aktiviti Riadah Berbasikal sejauh 10km.
Sejurus menyertai acara 'Briskwalk', Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan Pameran dan Ekspo Jualan Jabatan Penjara serta vendor-vendor jemputan.
Sebelum berangkat balik, Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan Perlawanan Akhir Tarik Kalat di antara pasukan SETIA Protective Security Services (SPSS) dan pasukan Jabatan Penjara Brunei.
Perlawanan berkesudahan dengan SPSS meraih tempat pertama, diikuti oleh Jabatan Penjara Brunei di tempat kedua, manakala Penjara Sabah menempatkan diri di tempat ketiga.
Antara acara sampingan yang diadakan termasuk Persembahan Seni Bela Diri (Prison Self Defence), Persembahan dari Pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara; Penyampaian hadiah dan cenderamata serta sumbangan kepada Rakan-rakan Seliaan; juga Permainan Sukan Ria dan Fun Game.